Pasukan Jepun berjaya meraih mata pertama dalam saingan Copa America 2019 apabila mengikat Uruguay dengan keputusan 2-2 dalam satu perlawanan yang diadakan di Porto Alegre pada awal pagi tadi.

Setelah dibelasah oleh pasukan Chile pada perlawanan pertama dengan keputusan 4-0, Jepun tampil lebih kemas dimana mereka berjaya mendahului sebanyak 2 kali dalam perlawanan tadi menerusi dua gol daripada pemain sayap, Koji Miyoshi.

Meskipun tampil tanpa ayam tambatan mereka, Takefusa Kubo dan Ayase Ueda di bahagian serangan, namun skuad The Samurai Blue memberikan saingan sengit kepada pasukan gergasi Amerika Selatan itu yang rata-rata dibarisi oleh pemain bintang.

Luis Suarez
Sumber Gambar: CNA

Miyoshi meletakkan Jepun di hadapan pada minit ke-25. Selang 5 minit kemudian, Suarez menyempurnakan sepakan penalti selepas Naomichi Ueda dipersalahkan kerana menjatuhkan Edinson Cavani. Naib juara Piala Asia 2019 itu kembali berada di hadapan pada minit ke-59 sebelum Gimenez menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi satu tandukan sekaligus memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Keputusan yang diraih oleh Jepun ini meletakkan mereka di tangga ketiga dibelakang pasukan Chile yang menghuni tangga kedua dan Uruguay yang mendahului kumpulann C. Satu lagi pasukan Asia, Qatar mengalami kekalahan apabila mereka tewas kepada Colombia dengan keputusan 1-0 pada semalam.